Saturday, 20 June 2015

Umat Islam Perlu Manfaat Bulan Ramadan Perkukuh Perpaduan Dan Ukhuwah - Najib



 

KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu memanfaatkan bulan Ramadan bagi memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi asas kemajuan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dalam perutusan Ramadannya pada Rabu berkata kestabilan dan kemakmuran negara saling berkait dengan kekukuhan perpaduan yang sudah dibina selama ini.

"Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita selaku umat Islam diberi kesempatan bertemu dengan Ramadan 1436 Hijrah ini.

"Sempena keberkatan Ramadan ini, marilah kita perteguhkan hubungan dengan Allah SWT, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat pelbagai kaum," katanya.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mempersiapkan diri dari sudut fizikal, mental dan rohani dalam menjalani ibadah di bulan mulia itu.

"Sesungguhnya, pada bulan Ramadan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia. Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam," katanya bahawa Ramadan merupakan bulan peningkatan iman dan takwa seseorang.