Saturday 20 June 2015

DAP tiada hak bubarkan Pakatan - Hadi

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Pakatan Rakyat (PR) masih wujud dan belum berkubur biarpun rakan sekutunya DAP sudah mengisytiharkan pakatan pembangkang itu tidak lagi wujud.
Malah Abdul Hadi berkata, DAP tidak berhak mengumumkan PR dibubarkan selain dengan sinis menyatakan parti berkenaan tidak memahami maksud 'Pakatan Rakyat' sehingga terburu-buru bertindak sedemikian.
"Itu kenyataan peribadi, pada saya ia merupakan kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti bukanlah (boleh dipanggil) Pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti...boleh bukalah kamus dewan apa makna Pakatan...sorang-sorang boleh dipanggil Pakatan ke? Tidak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya sebaik sahaja selesai kuliah Jumaat di Rusila di sini, hari ini.
Pakatan Rakyat merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-12.
Ditanya sama ada status Pakatan itu masih lagi wujud, Abdul Hadi berkata: "Ya, masih lagi wujud".
Menurutnya setakat ini PAS belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan DAP bubar Pakatan Rakyat dan PAS juga belum terima kenyataan rakan sekutunya, PKR.
"...PKR tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada...dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami dapat melalui laporan media sahaja," katanya.
DAP menerusi Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP sebelum ini mengumumkan parti itu kini memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi kerana tidak lagi dapat bekerjasama dengan presiden PAS yang didakwa 'tidak jujur' dan gagal untuk membincangkan dengan anggota Pakatan Rakyat yang lain berhubung rancangan PAS untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.
Ini termasuk hasrat Abdul Hadi untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO selain menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah isu panas itu kian berpanjangan apabila jawatankuasa pusat DAP yang bermesyuarat pada 15 Jun memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud berikutan disebabkan Muktamar ke-61 PAS pada awal bulan ini telah meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS itu.
PAS mendakwa pemimpin DAP telah menyerang kepimpinan Abdul Hadi sehingga menyebabkan parti itu memutus hubungan dengan DAP.
Ditanya sekiranya PKR lebih menjurus memilih untuk bersama-sama DAP berbanding PAS, Hadi berkata, beliau tidak akan membuat keputusan sebelum PKR keluarkan kenyataan.
"Sehingga PKR ada keluarkan kenyataan, kemudian barulah saya boleh buat keputusan. Terpulang kepada PAS dan terpulang kepada PKR. Kalau PAS tak setuju PAS boleh keluar, PKR tak setuju PKR boleh keluar. Sehingga hari ini PAS tak buat kenyataan keluar Pakatan.
"Kami sayangkan perpaduan kaum kerana mempunyai masyarakat majmuk di Malaysia. Terpulang kepada masyarakat menilai kenyataan dia (Guan Eng) tu," katanya.

No comments:

Post a Comment