Saturday 20 June 2015

China larang umat Islam berpuasa


XINJIANG, Rabu – Sekatan terhadap agama Islam berterusan di China apabila pihak berkuasa Xinjiang mengekalkan larangan berpuasa terhadap umat Islam termasuk penjawat awam, pelajar dan guru.
Menurut laman web kerajaan, China turut menempatkan pegawai khas di restoran halal termasuk di Jinghe County, bagi memastikan restoran itu kekal beroperasi menjual makanan pada siang hari sepanjang Ramadan.
“China mengetatkan lagi larangan dan pemantauan terhadap umat Islam menjelang Ramadan kali ini.
“Pegangan agama Muslim Uighur dipolitikkan, dan peningkatan sekatan boleh menyebabkan ketegangan semakin tajam,” kata jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit dalam satu kenyataan.
Dilxat mengecam larangan pihak berkuasa China ke atas penjawat awam Muslim Uighur untuk berpuasa, dan melihatnya sebagai cuba mengawal agama Islam.
Setiap tahun, pihak berkuasa China telah berulang kali mengenakan sekatan ke atas Muslim Uighur di barat laut Xinjiang setiap kali menjelang Ramadan.
Terdahulu pada bulan Disember, China mengharamkan pemakaian jubah atau bertudung di khalayak di Urumqi, ibu kota wilayah Xinjiang.
Kumpulan hak asasi manusia menuduh pihak berkuasa China melakukan penindasan agama terhadap umat Islam Uighur di Xinjiang dengan berselindung disebalik kempen antikeganasan.
Pada 2014, Xinjiang mengharamkan amalan agama di bangunan kerajaan, serta memakai pakaian atau logo yang berkaitan dengan agama.
Mei lalu, kedai dan restoran Muslim di sebuah kampung di barat laut Xinjiang telah diarahkan untuk menjual rokok dan alkohol. – Agensi/ISMAWeb.net

No comments:

Post a Comment