Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa meningkatnya kejadian keganasan politik adalah disebabkan sikap berdiam diri Perdana Menteri terhadap insiden yang berlaku.
Anwar memberi contoh kekecohan yang berlaku semasa ceramah beliau di Lembah Pantai tempoh hari sebagai bukti dakwaannya.
Rakyat
tahu hakikat sebenar bahawa sepanjang sejarah politik negara tidak
pernah berlaku kejadian seperti mana yang dituduh oleh Anwar.
Pola
keganasan politik yang disebut beliau mula kelihatan dalam masyarakat
Malaysia sebaik sahaja Anwar dibebaskan dari penjara lapan tahun lalu.
Ia
bertambah rancak apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh
pada 2008 dan seterusnya diangkat sebagai Ketua Pembangkang.
Kalau
dahulu hanya terdapat protes secara kecil-kecilan dan terpencil oleh
penyokong pembangkang tetapi setelah Anwar memimpin gabungan parti-parti
PKR, PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat, seolah-olah terdapat
perancangan yang lebih teratur dan tersusun untuk menimbulkan huru hara
di negara ini.
Kemuncaknya boleh dilihat daripada rusuhan yang berlaku semasa perhimpunan Bersih 3.0 pada April lalu.
Bukan sahaja harta benda awam musnah dan rosak, malah kenderaan pasukan polis juga dimusnahkan serta petugas media tercedera.
Klip
video jelas menunjukkan Anwar memberi arahan kepada Timbalan Presiden
PKR, Azmin Ali supaya penyokong merempuh halangan perimeter Dataran
Merdeka.
Rusuhan
Bersih 3.0 disebabkan peranan utama Anwar menghasut orang ramai serta
pengerusi perhimpunan, Ambiga Sreenevasen yang melanggar Akta
Perhimpunan Aman 2012.
Inilah politik benci dan hasutan yang diamalkan oleh pihak pembangkang sejak dari dahulu.
Pergi
sahaja ke mana-mana ceramah yang dianjurkan mereka, rakyat akan
berpeluang mendengar bermacam-macam tuduhan liar, fitnah dan tohmahan
yang dilemparkan kepada kerajaan dan pemimpin-pemimpin negara.
Sudah tentu sasaran utama mereka ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tidak
cukup dengan itu, pembangkang mengembangkan budaya politik kotor mereka
untuk menyerang isteri Perdana Menteri, malah anggota keluarga Perdana
Menteri juga tidak bebas daripada serangan politik pembangkang.
Politik
hasutan yang dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti
Anwar, Nik Aziz, Lim Guan Eng, Mat Sabu dan lain-lain inilah yang
mewujudkan suasana tidak tenteram dan ketidakstabilan politik di dalam
negara.
Pembangkang
tidak mempunyai modal politik yang kukuh untuk menghentam kerajaan
melainkan membuat dakwa dakwi yang kadangkala di luar logik dan
penerimaan akal yang sihat.
Setiap
isu diputar belit dan diselewengkan fakta, umpamanya menuduh Datuk Seri
Shahrizat Jalil terlibat secara langsung dalam isu NFC semasa beliau
menjadi anggota Kabinet.
Setelah
meletak jawatan barulah SPRM membersihkan namanya dan keluar fakta
sebenar bahawa beliau tidak terbabit langsung dalam isu tersebut.
Namun kerosakan terhadap integriti dan maruah seorang menteri telah pun berlaku disebabkan fitnah pihak pembangkang.
Anwar
serta pemimpin pembangkang tidak peduli samada apa yang dihamburkan dari
mulut mereka dalam siri ceramah kepada rakyat berlandaskan kepada fakta
atau sebaliknya.
Yang penting pembangkang mahu menimbulkan semaksimum kebencian di dalam hati rakyat terhadap kerajaan.
Segala
usaha pembangunan yang di bawa oleh kerajaan Barisan Nasional untuk
membela nasib rakyat sejak merdeka mahu ditutup oleh pembangkang dengan
budaya fitnah dan hasutan mereka.
Pembangkang
berfikir jika rakyat sudah cukup membenci kerajaan atas propaganda dan
dakyah yang mereka sebarkan, maka hasrat mereka untuk merampas Putrajaya
menjadi semakin cerah.
Mereka gagal memahami politik lapuk yang mereka amalkan sudah lama ketinggalan zaman.
Pemimpin politik seperti Anwar dilihat sebagai sudah usang dan lebih sesuai dikaitkan dengan zaman Jurassik.
No comments:
Post a Comment