Saturday, 29 December 2012
PAKATAN HARAM SESAK NAFAS KERANA ANAK MUDA SOKONG BN !!!
Sokongan pengundi muda, sebagai tunjang negara untuk mencapai matlamat negara maju menjelang tahun 2020, kini dilihat sudah memihak kepada Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Beliau berkata kesedaran pengundi muda terhadap kemampuan BN untuk kekal menerajui negara ini kini semakin kuat kerana mereka tahu hanya BN yang dapat memberi jaminan masa depan yang lebih baik kepada negara.
"Bila dah dekat-dekat pilihan raya ni, nampaknya gelombang kesedaran itu sudah dapat kita rasakan, saya ucap syabas kepada orang-orang muda... tadi saya nampak poster "Orang Muda sokong BN"... mereka mahu Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kampung Pulau Bahagia Manir di Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Katanya BN memberi jaminan tidak akan ada kumpulan rakyat sama ada di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak yang tertinggal ataupun tercicir daripada perhatian kerajaan jika BN kekal memerintah menjelang tahun 2020.
Menurutnya pemerintahan BN hari ini adalah amanah untuk membela dan menjaga kebajikan rakyat supaya dapat menjalani kehidupan dengan baik dan selamat.
Katanya dalam melaksanakan amanah tersebut kerajaan sentiasa memastikan ekonomi negara berkembang, peluang kerja bertambah, industri bertambah maju, kemudahan sosial seperti kemudahan kesihatan dan pendidikan lebih baik.
"Dalam lapan tahun lagi janji kita kepada rakyat adalah untuk menjadi negara maju... setiap peringkat rakyat... tua muda semua kaum... Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan dapat diberikan perhatian dan pembelaan secukupnya," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata ia bukannya janji kosong kerana BN memberi jaminan bahawa menjelang fajar 2020, Malaysia akan menjadi negara maju yang sebagaimana yang rakyat idamkan.
Beliau menegaskan parti PAS tidak akan dapat menjadi pembela nasib orang Melayu dan Islam di negara ini sebagaimana yang Umno lakukan selamanya.
"Bila kita bantu rakyat, PAS kata ini rasuah, saya tidak tahu fatwa mana yang mereka pakai, ini tanggungjawab kerajaan kepada rakyat," katanya dan menurutnya kerajaan BN tidak pernah pilih kasih dalam membantu rakyat.
Dalam pada itu, Muhyiddin yakin Terengganu akan kekal diperintah BN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang dengan adanya sokongan setiap lapisan rakyat jelata yang ingin melihat perubahan dan pembangunan berterusan di negeri ini.
Katanya sokongan rakyat Terengganu kepada Umno dan BN dijangka meningkat pada PRU-13 berbanding pilihan raya umum yang lepas.
"Marilah kita sama-sama tekad dan berazam untuk membawa perubahan kepada masyarakat Islam di negeri kita ini di bawah Umno dan BN," katanya.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 15,000 rakyat itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM2.9 juta untuk membaik pulih rumah orang miskin dan beberapa projek kemudahan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment