Saturday, 29 December 2012

2012 BAKAL PERGI - UMNO TERUS GAGAH DENGAN PELBAGAI CABARAN !!!

Tahun 2012 menyaksikan kedudukan Umno, sebagai sebuah parti politik terbesar tanah air semakin stabil dan lebih kukuh meskipun berdepan pelbagai ujian getir.

Umno dengan keanggotaan 3.3 juta orang terus menunjukkan kesungguhan dan keinginan yang kuat bagi memenangi semula majoriti dua pertiga kerusi Parlimen selepas kehilangan empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini mengerahkan seluruh anggota Umno bersatu mempertahan Putrajaya sambil menegaskan rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik, dan ini hanya mampu ditawarkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).

Perdana Menteri berkata Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) merupakan titik penentu kepada destinasi masa depan negara dan rakyat perlu tahu menilai kelebihan BN berbanding pembangkang.

Katanya ini dibuktikan dengan parti perikatan dan kemudian BN yang ditunjangi oleh Umno sejak lebih 55 tahun lalu, secara berterusan menerajui negara dengan membawa pelbagai perubahan dan pembaharuan dengan lonjakan berganda.

Najib yang juga Pengerusi BN berikrar bahawa beliau bersama-sama pimpinan Umno akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan menaikkan martabat orang Melayu dan beliau juga berjanji akan terus mempertahan akidah umat Islam dan memelihara agama yang suci ini.

Pemerhati politik Datuk Dr Kaisan Abdul Rahman berkata beliau kagum dengan kebangkitan semula Umno dengan lebih gagah, berani dan telus di bawah teraju Najib, yang kian menunjukkan kepimpinan yang tegas dan dihormati semua anggota parti bahkan seluruh rakyat Malaysia.


"Kesan positif ketegasan Najib dalam menerajui Umno turut dirasakan oleh Umno di Kelantan, yang kini lebih yakin diri. Malah program transformasi kerajaan oleh Najib juga menyentuh kehidupan semua lapisan rakyat. Ini merupakan bukti sebuah parti politik yang jelas hala tujunya dan wajar mendapat sokongan padu rakyat," kata doktor dari Kelantan itu.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata Umno telah pulih selepas kejutan pilihan raya umum 2008, dan ia kini cukup bersedia menghadapi PRU-13.

Beliau berkata kini terdapat perubahan ketara dalam soal kekuatan dan perpaduan dalam parti, ditambah lagi dengan proses transformasi menguntungkan rakyat yang dilaksana Perdana Menteri.

Kejayaan Umno dan rakan komponen BN yang lain membangunkan negara dan semua bangsa turut diiktiraf oleh beberapa negara yang turut mahu mencontohi BN.

Delegasi Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Parti Golkar Provinsi Bali, Indonesia tertarik dengan cara Umno mengurus parti serta pemimpin di negara ini menerajui pentabiran kerajaan.

Ketua delegasi itu Ketut Sudikerta dalam pertemuannya dengan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan mengemukakan 15 soalan berhubung pentadbiran dan strategi Umno dalam mengekalkan status sebagai sebuah parti kerajaan.

Manakala Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) Al-Haj Murad Ebrahim berkata peralihan Umno daripada sebuah pergerakan bebas yang bersatu menjadi sebuah parti politik pemerintah di Malaysia dapat dijadikan contoh.

Beliau memuji parti itu yang memperoleh kuasa daripada mandat popular dan pada masa sama mendukung cita-cita serta amalan demokrasi.

Kejayaan Umno juga ialah apabila berterusan mendapat kepercayaan daripada penyokong tegar pembangkang yang selama ini tertipu dengan janji palsu yang nyata gagal ditepati, malah ada dalam kalangan penggiat seni tanah air menyertai Umno setelah yakin bahawa tiada parti lain yang mampu membela nasib mereka.

Usaha Umno untuk meremajakan parti juga ternyata berjaya apabila lebih 70 peratus daripada 250,000 pengunjung sambutan ulang tahun Umno ke-66 di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil Mei lepas adalah golongan belia.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kehadiran golongan muda membuktikan matlamat Umno menarik golongan itu mendalami isi perjuangan parti mencapai kejayaan.

Manakala Najib pula pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini mengingatkan anggota Umno bahawa masyarakat kini berdepan dengan perubahan radikal demografik yang mengubah cita rasa dan aspirasi rakyat terutama golongan muda, yang lebih bermaklumat serta kritikal.

Perdana Menteri berkata keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi di Malaysia menyumbang kepada perubahan lanskap politik negara berikutan peningkatan taraf hidup, proses perbandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi dan pengangkutan yang berlaku di negara ini.

Presiden Umno itu menarik perhatian anggota perwakilan bahawa sejak Mac 2008, seramai 2.9 juta pengundi baharu tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.

Katanya angka itu sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada pengundi Malaysia yang kini mencapai 13.1 juta orang. 

Mengulas hal ini Dr Kaisan yakin majoriti pengundi baharu akan memberikan kepercayaan kepada Najib dan Umno serta BN kerana mereka generasi yang berilmu pengetahuan dalam membuat pertimbangan dan pilihan.

Disebalik kegagahan Umno menongkah arus, parti itu turut tidak terlepas berdepan dengan pelbagai ujian antaranya kontroversi isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan beberapa anggotanya yang keluar parti dan menyertai pembangkang serta sabotaj.

Selain itu Umno turut dituduh terlibat dalam aktiviti membeli undi oleh bekas anggotanya, menjalinkan hubungan dengan komunis, murtad dan didoakan kehancurannya oleh parti lawan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Namun, Umno tidak lemah sebaliknya semakin gagah mengorak langkah dalam menyusun strategi bagi menepis persepsi yang dipalitkan pihak-pihak yang cemburu dengan kejayaan parti itu.

Pada Mac, ketika kontroversi NFC kencang ditiup oleh pihak lawan terhadap Umno dan Ketua Wanitanya, Shahrizat dengan penuh bertanggungjawab melepaskan jawatannya dalam kabinet yang mendapat pujian daripada para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Shahrizat terpalit dengan isu NFC kerana ia diterajui suaminya Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail yang terbabit dalam projek lembu daging di Gemas, Negeri Sembilan. 

Beliau bagaimanapun masih kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan BN.

Budayawan dan pemerhati sosial Dr Ibrahim Ghafar ketika mengulas insiden itu berkata, ia tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan Umno sebagai sebuah parti politik kerana yang terpalit hanya seorang pemimpin dan bukannya kepimpinan parti secara sistematik atau keseluruhan.

"Hal seperti ini boleh terjadi di mana-mana negara dan dalam mana-mana parti. Namun yang jelasnya, Umno sendiri tidak pernah merestui sebarang bentuk kesongsangan atau penyelewengan. Malah kerajaan BN yang diterajui Umno terbukti telus, tidak campur tangan malah membiarkan proses undang-undang berjalan sebaik-baiknya," tambahnya.

Selain itu, Anggota Parlimen Sabak Bernam Datuk Abdul Rahman Bakri yang didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Mac atas tuduhan rasuah empat tahun lepas akan hilang jawatan yang disandangnya dalam Umno.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sabak Bernam dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM400,000 setelah didapati bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntutan palsu melibatkan RM80,000 ketika menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, empat tahun lepas.

Selain itu, akibat kenyataan kontroversi yang ditimbulkan Bendahari Umno Bahagian Kulim-Bandar Baharu, Kedah, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Lembaga Disiplin Umno sedang mengumpul maklumat dan bukti berhubung isu yang dilapor mendakwa Barisan Nasional (BN) membayar pengundi kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu pada pilihan raya umum lepas.

Bagaimanapun, pada 19 Mac, bekas Menteri Penerangan itu menghantar surat peletakan jawatannya sebagai anggota Umno kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan kemudiannya menyertai Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Umno kemudian diuji dengan kenyataan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat parti itu kini mempunyai masalah ketandusan pemimpin gara-gara kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan yang menyekat kemasukan mereka ke dalam Umno.

Justeru katanya kepimpinan di peringkat bahagian serta cawangan Umno perlu membuka pintu seluas-luasnya untuk golongan profesional cerdik pandai menyertai parti itu dan seterusnya diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum.

Presiden Umno juga pada Mei berdepan dengan tindakan provokasi daripada beberapa individu yang membuat bising sambil melaungkan perkataan 'Bersih' semasa sesi "Sepetang Bersama Perdana Menteri" yang dihadiri 1,500 orang sempena lawatan kerja dua hari Najib ke United Kingdom.

Daripada mendakwa ia adalah khabar angin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Lajim Ukin akhirnya pada Julai mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga dibatalkan serta-merta dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Selain itu, Umno juga diuji dengan kehilangan beberapa tokoh politik yang banyak berjasa terhadap parti iaitu Tan Sri Hamzah Abu Samah yang juga bapa saudara kepada Najib, exco kanan Pahang yang juga Ketua Umno Bahagian Maran Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak dan Ketua Wanita Umno Parit Buntar Salmiah Mohamad.

Disebalik pelbagai ujian yang dihadapi Umno, Timbalan Presiden parti telah memberi amaran keras kepada mana-mana anggota atau pemimpin Umno yang didapati bertindak mensabotaj calon dalam PRU akan disingkir daripada parti.

Sejajar dengan amaran keras yang dikeluarkan Muhyiddin, Majlis Tertinggi Umno bersetuju mewujudkan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti untuk memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhianati atau mensabotaj calon BN.

Menunjukkan Umno serius, Lembaga Disiplin Umno telah mengumumkan pemecatan dua anggotanya dan penggantungan selama tiga tahun ke atas seorang lagi anggota kerana kesalahan sabotaj parti.

Perdana Menteri berkata patuh kepada disiplin organisasi merupakan antara penentu kemenangan Umno dan BN walaupun parti itu kini bertambah kukuh dan mantap untuk berdepan PRU akan datang.

Najib, yang juga Presiden Umno berkata walaupun mempunyai bilangan anggota yang ramai, Umno, sebagai parti tunjang Melayu bakal tewas jika anggotanya tidak memiliki disiplin organisasi yang mantap.

Beliau berkata melalui disiplin organisasi yang mantap, Umno dengan keanggotaannya yang melebihi tiga juta mampu turun 'berperang' secara tersusun dalam satu ikatan kepimpinan yang utuh bersama kekuatan yang sedia dimiliki.

Apa pun, perhimpunan agung parti baru-baru ini adalah yang terakhir dan telah memberi isyarat bahawa Umno sudah siap siaga untuk menghadapi pilihan raya, malah sudah bangkit semula dengan lebih gagah, berdisiplin, padu serta mampu menjamin masa depan lebih baik untuk seluruh rakyat Malaysia di bawah pentadbiran BN.

No comments:

Post a Comment