KUALA LUMPUR: Umat Islam perlu
memanfaatkan bulan Ramadan bagi memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan
ukhuwah yang selama ini menjadi asas kemajuan negara, kata Datuk Seri Najib Tun
Razak.
Perdana Menteri dalam perutusan
Ramadannya pada Rabu berkata kestabilan dan kemakmuran negara saling berkait
dengan kekukuhan perpaduan yang sudah dibina selama ini.
"Alhamdulillah, marilah
sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita selaku umat
Islam diberi kesempatan bertemu dengan Ramadan 1436 Hijrah ini.
"Sempena keberkatan Ramadan
ini, marilah kita perteguhkan hubungan dengan Allah SWT, di samping mengeratkan
lagi hubungan silaturrahim dengan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat
pelbagai kaum," katanya.
Perdana Menteri turut menyeru
seluruh rakyat Malaysia mempersiapkan diri dari sudut fizikal, mental dan
rohani dalam menjalani ibadah di bulan mulia itu.
"Sesungguhnya, pada bulan
Ramadan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia. Di
dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan dilimpahi
dengan pelbagai keistimewaan yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam,"
katanya bahawa Ramadan merupakan bulan peningkatan iman dan takwa seseorang.
No comments:
Post a Comment