Tuesday, 8 May 2012
Sedarlah wahai Melayu!!!
JIKA kita melihat orang Cina, apa yang kita nampak selalunya hanyalah keCinaannya. Jarang kita melihat dia sebagai orang Cina berketurunan Hokkien, Hakka, Teochiew dan sebagainya. Orang India juga lebih tebal bayangan Indianya berbanding dengan bayangan rumpun keturunan. Pendek kata, anda tidak tahu dan tidak pernah mempedulikan rakan Cina anda itu daripada rumpun apa. Anda juga tidak tahu mamak India di tempat anda itu datang dan Calcutta, Madras atau Calicut. Mereka sesama mereka barangkali berpisah daripada segi rumpun keturunan, tetapi mereka di hadapan kita sentiasa kelihatan sama dan serupa.
Melayu?
Biasanya tidak begitu. Kita sesama kita sentiasa kelihatan terpisah. Di hadapan orang lain pula sentiasa tampak berpisah. Melayu jati selalu dilihat berbeza daripada Melayu Minang, Melayu Bugis, Melayu Jawa dan sebagainya.
Yang menjadi punca pada berlakunya itu semua bukanlah orang lain, tetapi orang Melayu sendiri. Apabila bertemu manusia sebangsa, kita amat saling berminat mencungkil tentang asal keturunannya. Kita amat ingin tahu apakah dia Melayu Rawa atau Melayu Bawean, Melayu Bajau atau Melayu Riau. Dalam keghairahan mencungkil itu kita langsung terlupa yang tindakan tersebut telah membantu memecahkan orang Melayu kepada kelompok-kelompok yang lebih kecil.
Ia tidak berakhir setakat itu. Perkara yang lebih buruk berlaku apabila timbul pula kecondongan untuk mengkelaskan rumpun sendiri mengikut sempadan negeri. Jika sesama Melayu jati, kita akan mengasingkannya mengikut istilah Melayu Kelantan atau Melayu Kedah, jika sesama Minang pula akan timbul soalan Minang Rembau atau Minang Gombak, jika sesama Jawa akan ditanya Jawa Kelang atau Jawa Tanjung Karang.
Apakah faedah berbuat demikian?
Tidak ada. Paling lebih ia sekadar menunjukkan pada orang lain akan kemajmukan kehidupan di Malaysia. Ia juga barangkali mampu memberi gambaran tentang betapa banyaknya rumpun bangsa yang bersekutu di bawah panji-panji Melayu.
Dan pada masa yang sama, ia menjadi petanda tentang betapa berpecahnya orang Melayu!
Kita faham Malaysia merupakan gabungan beberapa buah negeri. Kita juga faham bahawa antara keunikan negara ini ialah ia menjadi satu-satunya negara di dunia yang mempunyai begitu ramai raja.
Tidak mengapa. Sejarah tidak akan boleh dipinda.
Tetapi kita juga harus faham bahawa Malaysia dibentuk bagi tujuan menyatupadukan negeri-negeri Melayu dan perkara itulah sepatutnya dijadikan asas yang tersemat dalam fikiran setiap orang. Hanya kefahaman tentang asas itu akan membolehkan kita membuang fahaman kenegerian yang bersifat parokial dan menggantikannya dengan konsep MELAYU BESAR.
Sejarah pemisahan dan pengasingan Melayu sesama Melayu harus dihentikan. Ia sudah cukup lama berlaku, telah cukup lama tercatat. Pada zaman keagungan Empayar Melayu Melaka, telah wujud perkampungan-perkampungan berasingan yang memisahkan Melayu mengikut kelompok keturunannya. Orang-orang Melayu Bentan berkampung di kawasannya, terasing daripada Melayu Jawa. Orang-orang Bendahara tinggal di kawasan yang berbeza daripada orang-orang Temenggung atau orang-orang Laksamana.
Sehingga sekarang pengasingan itu berterusan. Ada Kampung Jawa, ada Kampung Melayu dan ada Kampung Minang. Walaupun dalam setiap perkampungan itu mungkin ada Melayu rumpun lain yang boleh menumpang hidup dengan aman dan selesa, namun pada masa yang sama, Melayu itu secara psikologinya akan berasa terpinggir dan terasing semata-mata kerana dia bukan daripada rumpun Melayu yang namanya diabadikan dengan kampung tersebut. Di peringkat awal, dia mungkin setakat berhadapan dengan dialek pertuturan yang berbeza, di samping budaya dan resam kehidupan yang tidak begitu sama dengan apa yang diwarisi olehnya. Dalam jangka waktu yang lebih panjang, dia mungkin menganggap apa yang berlaku pada jiran sekampung dengannya adalah ‘hal kaum mereka’ dan dia tidak berhak ikut campur. Kesannya? Dia secara tidak langsung akan mula terpisah, mulanya secara batiniah, dan kemudian mungkin secara lahiriah.
Bukti lain tentang pentingnya pengaruh suku keturunan dalam kehidupan orang Melayu dapat dilihat ketika berlakunya proses perlantikan seseorang pemimpin. Keutamaan sentiasa diberikan pada mereka yang datang daripada kelompok keturunan yang sama dengan majoriti golongan yang akan dipimpin. Kawasan yang besar pengaruh Minangkabaunya akan diberi pada yang berdarah Minang, sebaliknya bagi kawasan yang dikuasai oleh Melayu Bugis, maka yang berdarah Bugis jugalah akan dijadikan ketua.
Sekali imbas amalan itu tidak mempunyai apa-apa cacat celanya. Ia malah merupakan satu langkah yang baik dan ideal. Tetapi dalam konteks yang lebih luas ia sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Langkah seperti itu hanya akan menyebabkan faham kesukuan akan lebih mudah berkembang dan akhirnya menyebabkan jurang perbezaan sesama Melayu akan menjadi lebih besar. Tidak dapat tidak, seorang Melayu Bugis yang berketuakan seorang Melayu Jawa akan merasakan dirinya berada di kelas kedua kerana pada anggapannya si pemimpin sudah tentulah memberi keutamaan pada anak-anak buah lain yang berdarah Jawa. Kalaupun perasaan itu tidak diluahkan, ia akan tetap bermain di dalam jiwa dan lambat laun akan berkembang biak untuk mencetuskan perasaan-perasaan lain yang lebih tidak elok.
Tabiat mementingkan rumpun keturunan ini merupakan dosa yang turut memberi sumbangan besar terhadap perpecahan Melayu. Ia menyebabkan Melayu terbahagi pada pelbagai kelompok dan kasta. Martabat Melayu tidak lagi dilihat sama. Ada Melayu yang dimuliakan sehingga dicium tangannya semata-mata kerana mempunyai darah daripada keturunan yang dianggap terhormat, dan ada Melayu lain yang dianggap manusia kelas lima hanya kerana dia lahir daripada zuriat yang kurang besar pengaruhnya.
Praktis yang tidak menguntungkan inilah sepatutnya dihentikan. Melayu tidak harus diajar mengagungkan kedaulatan sukunya, tetapi patut diasuh memartabatkan bangsanya secara keseluruhan. Melayu tidak harus dibenarkan melebih-lebihkan mereka yang setempat atau senegeri
dengannya, tetapi mesti dibentuk supaya mahu menerima mana mana sahaja Melayu tanpa dakwa dan dakwi. Perspektif mereka terhadap Melayu harus menjadi lebih luas dan lebih besar sekiranya mereka mahu bangsa mereka menjadi gagah dan kuat.
Melayu di Malaysia sebenarnya telah ditakdirkan mempunyai potensi untuk menjadi bangsa yang besar. Kedudukan bumi tumpah darah mereka sudah cukup untuk membuka ruang ke arah itu. Sifat semulajadi mereka sendiri membesarkan lagi ruang tersebut.
Sejak terlalu lama dahulu Semenanjung Tanah Melayu berperanan sebagai tempat yang mempertemukan barat dan timur. Baik Kuala Merbok mahupun Kota Melaka, kedua duanya sama-sama menjadi tempat para pelaut dan pedagang dari barat berurusan dengan mereka yang datang dari timur.
Keadaan ini sudah tentulah menyebabkan orang Melayu terdedah pada aliran kemasukan budaya daripada kedua-dua arah mata angin itu. Tidak hanya itu, ia juga membuka peluang pada berlakunya penyekutuan budaya-budaya tersebut ke dalam kehidupan mereka. Proses itu berlaku bukan sahaja melalui pergaulan yang berasaskan urusan mencari makan, tetapi juga melalut pada hal-hal yang membabitkan nikah kahwin. Dengan perkataan lain, kedatangan pedagang-pedagang asing itu
menyediakan laluan untuk berlakunya perkahwinan campur.
Orang Melayu terkenal dan dikenali kerana ketaatannya. Jika ada sifat semulajadi mereka yang luar biasa, ianya tidak lain daripada ketaatan tersebut. Melayu taat pada sesiapa sahaja – raja, kawan dan tidak terkecuali sanak saudara.
Kepada agama pun begitu. Ketaatan Melayu sukar dipertikai. Di kalangan semua penganut agama Islam barangkali tidak ada yang lebih setia kepada agamanya selain daripada Melayu. Kalaupun seorang Melayu itu mungkin bukan penganut Islam yang baik, namun dia tetap seorang pembela Islam yang unggul. Dia, pada bila-bila masa, biasanya bersedia untuk mempertaruhkan darah dan nyawa demi agamanya.
Dengan berkuncikan ketaatan itu, orang Melayu tidak menghadapi masalah untuk menerima apa sahaja yang mempunyai kaitan dengan Islam. Mereka, pada masa yang sama, tidak mempunyai masalah untuk menerima segala yang dianggap telah disuratkan oleh Allah Taala.
Berasaskan dua kedudukan inilah, sebagai Islam yang pasrah pada takdir dan sebagai penghuni di Semenanjung yang mempertemukan aneka budaya, orang Melayu menerima baik amalan perkahwinan campur. Asal sahaja yang ingin berkahwin dengan anak atau saudara mereka itu beragama Islam, orang Melayu tidak akan menghalangnya. Mereka menerimanya sebagai anak menantu yang telah ditentukan oleh takdir.
Pada masa lalu sikap merelakan dengan mudah perkahwinan campur ini jarang terdapat pada bangsa-bangsa lain. Orang-orang China yang beragama Buddha tidak dapat menerima dengan mudah seorang India penganut Buddha untuk dijadikan pasangan hidup anaknya. Seorang Inggeris penganut Kristian totok belum tentu tidak menutup pintu rumah bagi menghalang seorang Arab yang ingin mengahwini anaknya walaupun Arab itu juga seorang Kristian totok.
Pendek kata, perkahwinan campur di kalangan bangsa bangsa lain adalah budaya baru. Ia jarang berlaku pada masa dahulu. Sebab itulah di China tidak terdapat orang China berdarah mamak dan di England tidak ada orang Inggeris berdarah China. Kalaupun ada, ia hanya kes-kes terpencil. Bilangannya tidak cukup untuk berkembang biak menjadi satu suku keturunan China baru atau satu suku keturunan Inggeris baru.
Di Tanah Melayu, perkahwinan campur yang diamalkan sejak beratus-ratus tahun dahulu itu telah menghasilkan baka Melayu campur yang sangat banyak. Baka itu telah berkembang dan membina kelompok-kelompok yang kemudiannya bercantum menjadi suku- suku keturunan baru.
Sebagaimana diketahui, yang paling banyak terlibat dalam perkahwinan campur dengan orang Melayu ialah para pedagang dari Arab dan India, yang menghasilkan Melayu berdarah Arab dan Melayu berdarah Mamak. Hal ini tentulah berlaku kerana para pedagang dari kedua-dua rantau itu umumnya beragama Islam. Jika ditakdirkan pedagang-pedagang dari China juga beragama Islam sudah pasti sekarang ini wujud Melayu dari suku yang berdarah China. Begitu juga kalau penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris beragama Islam, sudah tentu senarai suku kaum yang berada di bawah panji-panji Melayu akan menjadi lebih panjang. Pasti akan turut berada di situ ialah Melayu berdarah Portugis, berdarah Belanda dan berdarah Inggeris.
Adalah satu kenyataan juga bahawa perkahwinan campur yang berlaku di Tanah Melayu pada zaman dahulu umumnya bersifat berat sebelah. Yang kerap berlaku ialah lelaki-lelaki asing berkahwin dengan perempuan Melayu dan bukan sebaliknya.
Di dalam banyak sistem budaya, apabila berlaku perkahwinan yang bersifat sedemikian, biasanya yang rugi adalah bangsa pihak perempuan. Mereka bukan sahaja akan ‘kehilangan’ seorang perempuan, tetapi akan ‘kehilangan’ hak ke atas anak-anak yang bakal dilahirkan oleh perempuan itu. Anak-anak itu akan menjadi hak bangsa bapanya. Dia akan menjadi sebahagian daripada mereka, dan zuriat selepas itu akan perlahan-lahan hilang daripada rumpun asal ibunya. Dia dan anak cucunya akan menjadi sebahagian daripada anggota bangsa si bapa.
Disebabkan oleh sistem sosial begitu, banyak bangsa bangsa kecil di dunia lenyap begitu sahaja. Keadaan ini berlaku apabila bangsa-bangsa yang lebih besar menakluki mereka, mengahwini perempuan-perempuan mereka, dan kemudian ‘memiliki’ anak-anak yang lahir hasil daripada perkahwinan itu. Lama-kelamaan saiz bangsa kecil tersebut akan menjadi lebih kecil dan akhirnya ia akan pupus begitu sahaja.
Ironinya perkara itu tidak berlaku di Tanah Melayu.Perkahwinan campur tidak meluakkan bilangan Melayu, sebaliknya menambah besarkan lagi bilangan mereka. Anak-anak hasil daripada perkahwinan campur itu amat jarang ‘terlepas’ ke pihak si bapa. Anak India Muslim dengan wanita Melayu tidak akan membesar sebagai lelaki atau perempuan India Muslim. Anak wanita Melayu dengan lelaki Arab juga tidak akan membesar sebagai seorang Arab. Mereka akan menjadi Melayu, diterima sebagai Melayu dan kekal di dalam adat resam Melayu. Kalaupun satu atau dua generasi imej kacukan mereka mungkin masih kuat, namun lama-kelamaan mereka kembali menjadi Melayu dalam erti kata sebenar.
Jika dilihat dalam perspektif kebangsaan yang luas, faktor ini jelas amat menguntungkan Melayu.Ia memberi peluang pada Melayu untuk menjadi bertambah ramai dan bertambah besar.
Kita sedar yang perpecahan bukanlah hak asasi orang Melayu sahaja. Ia merupakan hak milik semua bangsa. Orang orang Cina juga berpecah. Sejak saat awal datang ke Tanah Melayu mereka sudah tidak boleh bersatu. Masing-masing terpaksa berlindung di bawah kumpulan-kumpulan kecil yang mempunyai keserasian dengannya, sama ada kerana berasal dan satu tempat atau datang daripada suku keturunan yang sama.
Tetapi perpecahan itu mempunyai batas-batasnya. Dalam keadaan perlu orang-orang Cina boleh melupakan perbezaan itu dan bergerak berganding bahu. Apa yang lebih menarik ialah, mereka tidak sekali-kali membiarkan imej kesukuan itu menenggelamkan imej Cina sebenar yang mereka miliki.
Sikap beginilah yang patut kita contohi. Kita tidak harus membiarkan imej suku itu dan suku ini membenamkan hakikat bahawa kesemua suku yang berbeza itu sebenarnya adalah Melayu. Kita tidak boleh terus menerus mencari perbezaan antara sesuatu suku atau rumpun, sebaliknya mesti berusaha mencari seberapa banyak persamaan yang ada.
Kita perlu belajar daripada sejarah. Perlu melihat bagaimana bangsa Arab yang sudah cukup tua itu terus menerus menjadi lemah. Puncanya semata-mata kerana tabiat terlalu mementingkan suku keturunan dan di kalangan suku suku itu pula terdapat perlumbaan untuk mencari perbezaan.
Fahaman kesukuan yang kuat akhirnya menyebabkan bangsa Arab jahiliyiah hidup bercempera. Mereka sibuk menghabiskan masa untuk berperang sesama sendiri.
Orang-orang Arab jahiliyah itu bernasib baik kerana Allah menurunkan Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyatupadukan mereka. Jika bukan kerana seruan dan ajaran Rasulullah s.a.w. mungkin nasib bangsa Arab sekarang setaraf dengan orang orang Gypsy.
Orang Melayu juga patut bersyukur kerana rahmat Allah sampai kepada mereka. Mereka ditakdirkan berpeluang mengenali, memahami dan menghayati Islam. Sepatutnya kesempatan itu digunakan dengan sebaik-baiknya. Dalam Islam tidak terdapat anjuran untuk membezakan manusia berdasarkan suku keturunannya. Apa yang ditekankan berulang-ulang oleh agama suci itu ialah soal persamaan taraf dan darjat manusia di sisi Allah.
Ajaran Islam telah diterimapakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan setiap umat Melayu di Malaysia. Kita tidak menerima ajaran itu secara main-main. Kita sangat komited dengannya. Oleh itu dengan asas yang sedia diajar oleh Islam, khususnya mengenai konsep persamaan taraf dan darjat, kita sepatutnya tidak menghadapi masalah langsung untuk bersatu padu.
Rekod kita dalam hal ini pun memang sangat cemerlang. Semenjak lama dahulu kita telah membuktikan kebolehan kita bersatu padu dengan pedagang-pedagang asing yang datang mencari nafkah di sini. Selepas merdeka kita membuktikan pula kemampuan untuk bersatu padu dengan kaum pendatang yang bukan Melayu.
Melayu mempunyai nilai toleransi yang besar dan hebat dalam hal yang membabitkan bangsa-bangsa lain. Apabila konsep Bangsa Malaysia diperkenalkan, kita menerimanya dengan mudah walaupun ia bermakna kita perlu mengorbankan banyak nilai-nilai keMelayuan yang selama ini kita bina, kita pupuk dan kita pelihara. Kita juga telah mengorbankan nama Tanah Melayu sehinggakan anak cucu kita sekarang sudah tidak pandai lagi menyebutnya. Kemudian pada suatu ketika, kita malah sanggup membenarkan pula Bahasa Melayu dipadam dan diganti dengan Bahasa Malaysia. Mujurlah langkah itu diperbetulkan dan Bahasa Melayu dihidupkan semula, jika tidak bukan mustahil suatu masa nanti orang Melayu akan teraba-raba mencari bahasanya sendiri.
Kita tidak sepatutnya menolak perpaduan dan apa juga usaha ke arah itu. Tetapi kita juga tidak seharusnya membenarkan sesetengah Melayu mencagarkan bangsanya dengan toleransi yang berlebihan, terutama dalam kes-kes yang membabitkan gagasan baru seperti pembentukan Bangsa Malaysia. Kita tidak boleh membenarkan Melayu yang suka mengalah ini tenggelam dalam pembentukan ‘bangsa baru’ itu.
Bangsa Malaysia, boleh dan memang perlu wujud, tetapi dalam bentuk yang bersifat abstrak. Tidak perlulah kita ke sana ke mari mendabik dada mengatakan kita ini berbangsa Malaysia, sedangkan realitinya kita adalah berbangsa Melayu. Kita tidak perlu menyekutukan bangsa dengan negara kerana Malaysia bermula bukan sebagai sebuah ‘melting pot’ sebagaimana Amerika Syarikat atau Peranchis.
Kita boleh berbangga dengan negara kita. Kita boleh mendabik dada dengan kelebihan-kelebihannya. Kita boleh berusaha menanamkan semangat kecintaan kepada negara kepada sesiapa sahaja. Namun pada masa yang sama kita tidak harus mengorbankan semangat kecintaan pada susur galur sendiri. Kita harus menerima hakikat bahawa yang membentuk Malaysia adalah Melayu. Kita harus sedar bahawa Melayu telah lama wujud sebelum Malaysia, jadi ia tidak boleh dibiarkan hilang begitu sahaja.
Tetapi mungkinkah Melayu mampu bertahan?
Jawapannya ada pada kita.
Jika semua Melayu mensyukuri apa yang telah Allah berikan kepada mereka selama ini, soalan di atas sama sekali tidak akan timbul. Jika Melayu bersedia mengamalkan toleransi sesama sendiri sehebat tolarensi mereka dengan orang lain, tidak ada sebab kenapa Melayu tidak mampu bertahan.
Halangan besar kapada toleransi sebenar sesama Melayu ialah penyakit hasad dengki, yang oleh banyak pihak telah disinonimkan dengan manusia Melayu sehingga dijenakakan bahawa orang Melayu banyak berkelulusan Ph.D – bukan dokterat, tetapi Perangai Hasad Dengki. Sikap tidak boleh melihat orang lain lebih, walaupun orang itu sedarah, sedaging dan serumpun, telah menyebabkan banyak Melayu memilih untuk bermasam muka sesama mereka. Kemesraan, kalaupun ada, tidak lagi diiring oleh keikhlasan, tetapi oleh keinginan untuk melakukan pengkhianatan.
Sikap-sikap begitulah yang perlu dikikis habis-habisan daripada hati nurani setiap Melayu. Kita perlu sama-sama akur bahawa satu-satunya kekuatan yang kita ada ialah pertalian dengan saudara-saudara yang sebangsa dan seagama. Pertalian itulah yang mesti dipelihara. Kita harus melupakan terus soal suku dan rumpun. Sama ada seseorang itu Melayu Siam atau Melayu Sunda, Melayu Rawa atau Melayu Jawa, Melayu Bentan atau Melayu Pakistan, selagi dia masih mengamal dan menyanjung adat budaya Melayu, maka kita harus menerimanya sebagai Melayu yang satu. Dia tidak boleh diasing-asingkan lagi.
Percayalah, Melayu tidak akan ditertawakan kalau berbuat begitu, tetapi Melayu tidak akan berupaya ketawa kalau terus bersusah payah mengecilkan bilangannya sendiri!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment